Karnival Ikatan hati Warga Felda (Iktiraf)  

Posted by BELIA FELDA PALONG 9

Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan Karnival Ikatan Hati Warga FELDA (Iktiraf) 2009 yang julung kali diadakan bertempat di Padang Kawad, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 20 Disember ini.

Karnival selama tiga hari bermula 18 Disember ini bakal menjadi perhimpunan terbesar melibatkan 8,161 warga FELDA dari seluruh negara.

Sempena karnival itu, Perdana Menteri akan mengumumkan penerima Anugerah Belia FELDA Malaysia (ABFM) dengan pemenangnya bakal membawa pulang Piala Perdana FELDA Malaysia 2009.

Ia adalah sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan sumbangan belia tanah rancangan itu kepada pembangunan negara.
Menurut Pengarah Seranta (FELDA) Jabatan Perdana Menteri, Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, pihaknya menyasarkan lebih 30,000 pengunjung dari sekitar Lembah Kelang akan membanjiri karnival tersebut.

”Karnival Iktiraf akan menjadi medan penyatuan dan mendekatkan warga FELDA sama ada di bandar dan warganya yang masih mendiami tanah-tanah rancangan.

”Program karnival tersebut akan menampilkan sifat massa dan berteraskan budaya ilmu yang diharap dalam memperkukuhkan kesepakatan warga FELDA, saya amat yakin mengiktiraf itu sentiasa lebih utama daripada imbuhan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA, Abidin Abdul Rahman.
Menurut Noor Ehsanuddin, karnival tersebut akan disertai 1,200 ahli Permuafakatan Siswa dan Siswi FELDA (PERSADA) membabitkan 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 10 pusat pengajian tinggi swasta.

Turut terlibat ialah 1,200 atlet dari 10 wilayah FELDA, 3,861 ahli Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) selain sukarelawan UiTM dan anak FELDA di Universiti Lim Kok Wing.

Beliau berkata, acara kemuncak karnival tersebut ialah pengumuman ABFM yang memasuki edisi tahun keempat sejak ia diperkenalkan pada 2006.

Melalui anugerah tersebut, johan Persatuan Belia Cemerlang FELDA Malaysia akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, bantuan aktiviti RM6,000, Piala Perdana FELDA Malaysia dan Program Belajar Sambil Lawatan (PBSL).

Selain itu sebanyak enam persatuan belia FELDA terbaik dalam pelbagai bidang juga akan diberikan pengiktirafan melalui anugerah

Kata Noor Ehsanuddin, bagi kategori individu pula, sebanyak tujuh penerima akan dipilih antaranya Anugerah Kepimpinan Terbilang Belia dan Beliawanis FELDA selain dua Anugerah Tokoh Generasi Baru FELDA, masing-masing bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.

”Kita sudah membuat pemilihan melalui pemantauan dan syarat yang ketat sejak tiga bulan lalu.

”Setakat ini sebanyak 10 persatuan belia FELDA telah dipilih untuk peringkat akhir,” katanya.

Tambahnya, Konvensyen Siswa dan Siswa FELDA akan diadakan sempena karnival tersebut dengan satu resolusi iaitu ‘Agenda Bertindak Mahasiswa FELDA’ akan diserahkan kepada Perdana Menteri.

Katanya, sebanyak tiga kertas kerja akan dibentangkan pada konvensyen itu.

Beliau juga memberitahu, sebanyak 200 ruang pameran akan dibuka sepanjang karnival itu membabitkan pelbagai sektor awam dan swasta.

”Program tersebut dirangkumkan dengan majlis pelancaran kad Iktiraf, pelancaran Sahabat Iktiraf, pesta sukan dan kebudayaan serta pameran produk Satu Produk Satu Wilayah (Sawari) yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan FELDA.

”Kita juga akan anjurkan program kerohanian iaitu tahlil, doa selamat dan solat hajat perdana serta Forum Perdana Hal Ehwal Islam sempena sambutan Maal Hijrah yang diadakan pada malam pertama karnival itu,” katanya.

Majlis Anugerah Belia FELDA Malaysia (ABFM) pada 11 hingga 13 Disember ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, bakal dihadiri oleh lebih 20,000 generasi baru FELDA.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka yang juga Naib Presiden 1 Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Wan Salman Wan Ismail berkata, majlis tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pada majlis itu Pejabat Seranta (FELDA), Jabatan Perdana Menteri akan turut melancarkan Program Ikatan Hati Warga FELDA bertujuan mengukuhkan kesepakatan di kalangan warga agensi kerajaan tersebut.

“Pada masa sama, majlis itu juga merupakan penutup Program Jelajah Ikon Belia FELDA Malaysia membabitkan generasi baru FELDA dari 375 persatuan belia di 11 Wilayah FELDA di seluruh negara,” katanya di sini semalam.

Hadir sama Pengurus Besar FELDA Wilayah Jengka, Saari Din; Pengerusi Penaja Majlis Belia FELDA Malaysia Wilayah Jengka, Hamedan Abu Samah; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Jengka 17, Yusof Arshad dan Ketua Puteri UMNO Kuala Krau, Norhasmimi Abd.Ghani.

Wan Salman berkata, Belia FELDA yang berjaya dan cemerlang dalam bidang masing-masing akan diberi pengiktirafan di majlis berkenaan.

”ABFM yang mula diperkenalkan tahun 2006 hasil cetusan idea Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan ia merupakan pengiktirafan tertinggi kepada anak peneroka yang menunjukkan pencapaian terbaik dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui FELDA sentiasa berusaha keras untuk memartabatkan generasi baru FELDA dalam semua bidang termasuk pendidikan, latihan kemahiran, ekonomi, sosial dan sebagainya.

“Segala program strategik FELDA itu hanya akan berkesan jika generasi baru dapat memanfaatkannya seperti tidak menentang arus khususnya dalam usaha mengangkat martabat golongan itu.

“Kita mahu melihat generasi baru yang ikhlas dan memahami aspirasi kerajaan mengangkat martabat warga FELDA bukan hanya berpura-pura menyokong untuk mendapat habuan kontrak dan sebagainya,” katanya. - UTUSAN

WARISAN PERMATA YANG HILANG  

Posted by BELIA FELDA PALONG 9

Kalau dulu apabila diadakan kenduri kahwin, semua warigh-warigh akan berkumpul yang dinamakan "berkampung ataupun kayu berakar".Maka dengan itu segala perancangan dibincangkan secara terperinci dan tugas-tugas kerja mula diagihkan.Bermula dengan mencari buloh untuk mendirikan khemah serta menebang pokok kelapa untuk dijadikan pangkin tempat duduk sehinggalah berjaga malam melapah daging untuk dimasak.
Setiap warigh-warigh yang datang akan membawa beberapa bahan seperti kelapa,kuih-muih dan sebagainya untuk disedekahkan kepada tuan rumah bagi menyerikan lagi majlis yang akan diadakan.Beberapa anak-anak muda pula ditugaskan untuk menjadi penanggah iaitu penyaji makanan bagi menyediakan makanan kepada tetamu yang hadir.Selalunya mereka-mereka ini dibekalkan dengan sekotak rokok sebagai imbuhan kepada tugas yang dilakukan. Majlis kenduri pula akan diserikan dengan bacaan Berzanji dan Marhaban serta diselangi pula dengan tahlil.
Ada juga di antara beberapa warigh yang berkemampuan akan memanggil kugiran anak-anak kampung untuk mempersembahkan beberapa lagu. Adakalanya ia bermula dari malam berinai dan anak-anak muda akan datang untuk berjoget lambak sebagai menyerikan lagi majlis kedua mempelai.Di akhir majlis perkahwinan pula, semua penanggah (pekerja) akan dibekalkan dengan nasi dan lauk-pauk sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan mereka bekerja.

Namun apakah tradisi ini masih kekal hingga sekarang?Jawapannya tidak?Ini kerana warigh-warigh kini lebih selesa dengan menggunakan khidmat "catering" untuk meyediakan makanan kepada tetamu yang hadir.Tetamu pula akan mengambil makanan dengan cara "buffet" dan bukan lagi dengan cara dihidangkan.Warigh-warigh yang datang hanyalah berlenggang tangan dengan berbekalkan sepucuk "angpow" untuk diberikan kepada tuan rumah.Tidak ada majlis gotong-royong kerana warigh-warigh hanya dimaklumkan melalui kad jemputan.Hiburan seperti joget lambak telah ditukar kepada acara karaoke.Malah ada juga yang menggunakan alat pita rakaman untuk membunyikan paluan kompang.Yang lebih malang ialah pemberian bunga telur telah ditukar kepada pemberian kek,sabun,tuala dan berbagai-bagai lagi mengikut kreativiti tuan rumah.Akibat dari cara beginilah maka hubungan silaturrahim itu tidak lagi kukuh seperti dahulu.Pertemuan di antara warigh-warigh hanya mengambil masa beberapa detik sahaja iaitu sewaktu bertemu pada hari berlangsungnya majlis bersanding.Alangkah baiknya jika tradisi dahulu dikekalkan demi menyatukan semua warigh-warigh agar mereka diberi lebih masa lagi untuk berbual panjang

Anugerah Belia Negara 2009  

Posted by BELIA FELDA PALONG 9

Anugerah Belia Negara 2009

Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pasukan “Green Wave” Sekolah Menengah Kebangsaan Teloi Kanan, Baling, Kedah Darul Aman yang diwakili oleh Mohd Khairul Effendi Bin Che Wan (17 tahun), Som Jud a/l Muniandy (16 tahun) dan Muhamad Fazrel Ashraf Bin Azizan (15 tahun) di mana dua orang daripada mereka adalah merupakan para belia dari rancangan Felda Teloi Timur yang telah memenangi anugerah Kategori Sains dan Teknologi dalam Anugerah Belia Negara 2009, di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini. Penganugerahan yang diberi berdasarkan kejayaan mereka mengharumkan nama Malaysia dengan memenangi pingat emas pada Festival Sains Teknologi dan Alam Sekitar di Helsinki, Finland dengan hasil menerusi tiga projek yang dibentangkan iaitu Penanaman Pokok, Perubahan Cuaca dan Kajian Air dalam festival yang dianjurkan oleh Environment Online (ENO) yang telah disertai oleh peserta daripada 80 buah negara.

1 Malaysia

PELANCARAN RAKAN MUDA  

Posted by BELIA FELDA PALONG 9

web-all2

Pelancaran Rakan Muda

Majlis Pelancaran Rakan Muda Sektor Kawasan Tanah Kemajuan (FELDA) Peringkat Kebangsaan 2009 akan diadakan di Felda Pemanis pada 08 hingga 09 Ogos 2009. Majlis perasmian akan diadakan pada 09 ogos 09 jam 9.30 pagi, disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan YB Dato’ Ahmad Sabri Bin Chik.

MBFM berbesar hati menjemput belia - belia yang berhampiran untuk turut menghadiri program tersebut.

Selamat Menyambut Ulang Tahun ke-56 PM  

Posted by BELIA FELDA PALONG 9


Majlis Belia Malaysia (MBM) mengucapkan Selamat Ulang Tahun ke-56 kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB. Dato Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang disambut pada hari ini. Seluruh Kepimpinan MBM dan ahli-ahlinya berdoa agar YAB. Perdana Menteri akan sentiasa dilimpahi dengan rahmat dari Nya serta sentiasa berada dalam kesejahteraan dan sihat.MBM juga berdoa agar YAB. Perdana Menteri diberi kekuatan dalam usahanya untuk merealisasikan konsep '1Malaysia' yang tentu sekali akan memberikan kebaikan kepada negara dan warga Malaysia. MBM ingin menyatakan sokongan dan kerjasama padu kepada YAB. Perdana Menteri dalam usaha beliau membawa Malaysia dan rakyatnya ke tahap yang lebih tinggi.

1 BELIA 1 MALAYSIA  

Posted by BELIA FELDA PALONG 9


PUTRAJAYA 13 Julai - Kementerian Belia dan Sukan akan melaksanakan pemilihan secara terbuka bagi membolehkan golongan belia sendiri memilih anggota Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN).
Menterinya, Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, langkah itu bertujuan memastikan mereka yang dilantik itu benar-benar mampu memberi sumbangan kepada pembangunan belia di negara ini serta memenuhi keperluan mereka.
''Kalau sebelum ini, menteri akan melantik orang yang beliau kenal dan serasi sahaja tetapi kali ini, kita mahu ia datang daripada kalangan belia sendiri.
''Saya percaya di kalangan orang ramai khususnya belia, sudah tentu ada banyak nama atau tokoh yang mereka fikirkan boleh memberi input kepada perancangan dasar dan program yang membabitkan belia," ujarnya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas melancarkan promosi pelantikan ahli MPBN (lantikan menteri) dan logo 1Belia 1Malaysia di sini hari ini.
MPBN yang ditubuh di bawah Seksyen 36 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 berfungsi sebagai badan perunding pembangunan belia.
Pencalonan itu boleh dibuat menerusi laman web www.1belia1malaysia.com mulai hari ini dan pengumuman senarai ahli akan dibuat pertengahan bulan depan.
Ahmad Shabery memberitahu, beliau percaya kaedah yang pertama kali dilaksanakan itu akan membawa idea dan pendekatan baru dalam menggerakkan belia dengan lebih berkesan.
''Mungkin kami tidak kenal dengan tokoh yang dicadangkan tetapi ia mungkin akan membawa idea-idea baru yang tidak terfikir oleh kami.
''Walaupun ia perkara baru tetapi zaman kerajaan tahu serba-serbi sudah berakhir," katanya