Karnival Ikatan hati Warga Felda (Iktiraf)  

Posted by BELIA FELDA PALONG 9

Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan merasmikan Karnival Ikatan Hati Warga FELDA (Iktiraf) 2009 yang julung kali diadakan bertempat di Padang Kawad, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 20 Disember ini.

Karnival selama tiga hari bermula 18 Disember ini bakal menjadi perhimpunan terbesar melibatkan 8,161 warga FELDA dari seluruh negara.

Sempena karnival itu, Perdana Menteri akan mengumumkan penerima Anugerah Belia FELDA Malaysia (ABFM) dengan pemenangnya bakal membawa pulang Piala Perdana FELDA Malaysia 2009.

Ia adalah sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangan dan sumbangan belia tanah rancangan itu kepada pembangunan negara.
Menurut Pengarah Seranta (FELDA) Jabatan Perdana Menteri, Noor Ehsanuddin Mohd. Harun Narrashid, pihaknya menyasarkan lebih 30,000 pengunjung dari sekitar Lembah Kelang akan membanjiri karnival tersebut.

”Karnival Iktiraf akan menjadi medan penyatuan dan mendekatkan warga FELDA sama ada di bandar dan warganya yang masih mendiami tanah-tanah rancangan.

”Program karnival tersebut akan menampilkan sifat massa dan berteraskan budaya ilmu yang diharap dalam memperkukuhkan kesepakatan warga FELDA, saya amat yakin mengiktiraf itu sentiasa lebih utama daripada imbuhan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Hadir sama ialah Timbalan Pengarah Besar (Pembangunan Komuniti) FELDA, Abidin Abdul Rahman.
Menurut Noor Ehsanuddin, karnival tersebut akan disertai 1,200 ahli Permuafakatan Siswa dan Siswi FELDA (PERSADA) membabitkan 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan 10 pusat pengajian tinggi swasta.

Turut terlibat ialah 1,200 atlet dari 10 wilayah FELDA, 3,861 ahli Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM) selain sukarelawan UiTM dan anak FELDA di Universiti Lim Kok Wing.

Beliau berkata, acara kemuncak karnival tersebut ialah pengumuman ABFM yang memasuki edisi tahun keempat sejak ia diperkenalkan pada 2006.

Melalui anugerah tersebut, johan Persatuan Belia Cemerlang FELDA Malaysia akan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, bantuan aktiviti RM6,000, Piala Perdana FELDA Malaysia dan Program Belajar Sambil Lawatan (PBSL).

Selain itu sebanyak enam persatuan belia FELDA terbaik dalam pelbagai bidang juga akan diberikan pengiktirafan melalui anugerah

Kata Noor Ehsanuddin, bagi kategori individu pula, sebanyak tujuh penerima akan dipilih antaranya Anugerah Kepimpinan Terbilang Belia dan Beliawanis FELDA selain dua Anugerah Tokoh Generasi Baru FELDA, masing-masing bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.

”Kita sudah membuat pemilihan melalui pemantauan dan syarat yang ketat sejak tiga bulan lalu.

”Setakat ini sebanyak 10 persatuan belia FELDA telah dipilih untuk peringkat akhir,” katanya.

Tambahnya, Konvensyen Siswa dan Siswa FELDA akan diadakan sempena karnival tersebut dengan satu resolusi iaitu ‘Agenda Bertindak Mahasiswa FELDA’ akan diserahkan kepada Perdana Menteri.

Katanya, sebanyak tiga kertas kerja akan dibentangkan pada konvensyen itu.

Beliau juga memberitahu, sebanyak 200 ruang pameran akan dibuka sepanjang karnival itu membabitkan pelbagai sektor awam dan swasta.

”Program tersebut dirangkumkan dengan majlis pelancaran kad Iktiraf, pelancaran Sahabat Iktiraf, pesta sukan dan kebudayaan serta pameran produk Satu Produk Satu Wilayah (Sawari) yang dihasilkan oleh usahawan-usahawan FELDA.

”Kita juga akan anjurkan program kerohanian iaitu tahlil, doa selamat dan solat hajat perdana serta Forum Perdana Hal Ehwal Islam sempena sambutan Maal Hijrah yang diadakan pada malam pertama karnival itu,” katanya.

Majlis Anugerah Belia FELDA Malaysia (ABFM) pada 11 hingga 13 Disember ini di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, bakal dihadiri oleh lebih 20,000 generasi baru FELDA.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jengka yang juga Naib Presiden 1 Majlis Belia FELDA Malaysia (MBFM), Wan Salman Wan Ismail berkata, majlis tersebut akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, pada majlis itu Pejabat Seranta (FELDA), Jabatan Perdana Menteri akan turut melancarkan Program Ikatan Hati Warga FELDA bertujuan mengukuhkan kesepakatan di kalangan warga agensi kerajaan tersebut.

“Pada masa sama, majlis itu juga merupakan penutup Program Jelajah Ikon Belia FELDA Malaysia membabitkan generasi baru FELDA dari 375 persatuan belia di 11 Wilayah FELDA di seluruh negara,” katanya di sini semalam.

Hadir sama Pengurus Besar FELDA Wilayah Jengka, Saari Din; Pengerusi Penaja Majlis Belia FELDA Malaysia Wilayah Jengka, Hamedan Abu Samah; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Rancangan Jengka 17, Yusof Arshad dan Ketua Puteri UMNO Kuala Krau, Norhasmimi Abd.Ghani.

Wan Salman berkata, Belia FELDA yang berjaya dan cemerlang dalam bidang masing-masing akan diberi pengiktirafan di majlis berkenaan.

”ABFM yang mula diperkenalkan tahun 2006 hasil cetusan idea Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan ia merupakan pengiktirafan tertinggi kepada anak peneroka yang menunjukkan pencapaian terbaik dalam pelbagai bidang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan melalui FELDA sentiasa berusaha keras untuk memartabatkan generasi baru FELDA dalam semua bidang termasuk pendidikan, latihan kemahiran, ekonomi, sosial dan sebagainya.

“Segala program strategik FELDA itu hanya akan berkesan jika generasi baru dapat memanfaatkannya seperti tidak menentang arus khususnya dalam usaha mengangkat martabat golongan itu.

“Kita mahu melihat generasi baru yang ikhlas dan memahami aspirasi kerajaan mengangkat martabat warga FELDA bukan hanya berpura-pura menyokong untuk mendapat habuan kontrak dan sebagainya,” katanya. - UTUSAN